Chairman’s Message

Salam sejahtera dan selamat datang ke lelaman rasmi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC)!

Lelaman ini dibangunkan untuk menyediakan maklumat dan sumber rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan tentang program-program yang disokong oleh MLLPC. Informasi yang disediakan diharap dapat membantu sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam usaha menggalakkanpenggunaan bahasa Melayu dan meningkatkan apresiasi terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu kita.

Bahasa merupakan teras utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat yang maju dan cemerlang. Oleh itu, MLLPC ingin memastikan bahawa segala usaha untuk memartabatkan dan menyemai minat serta rasa cinta akan bahasa, sastera dan budaya Melayu mendapat sokongan yang jitu. MLLPC akan terus memberikan sokongan, baik dalam bentuk pendanaan mahupun kepakaran kepada sekolah-sekolah, institusi posmenengah dan pertubuhan-pertubuhan setempatyang ingin mengendalikan program-programyang memupuk kecintaan dan penghargaan terhadap bahasa ibunda dan warisan budaya. Usaha murni ini juga disokong kuat oleh agensi-agensi seperti bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura, Lembaga Warisan Negara, Majlis Seni Kebangsaan, Taman Warisan dan Lembaga Perpustakaan Negara.

Selaku Pengerusi MLLPC, saya rasa bangga melihat usaha berterusan pihak MLLPC mengendalikan program-program unggulnya seperti Fiesta Bahasa dan Projek Kesantunan. MLLPC turut aktif membangunkan bahan-bahan untuk peringkat sekolah rendah seperti siri Nabil Nabilah dan Portal Permainan Bahasa ‘Misi Mimi’. Selain itu, aplikasi-aplikasi juga sedang dibangunkan sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah bagi menyokong ibu bapa dalam usaha menggalakkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu di rumah.

Saya berharap agar usaha bersama ini akan merancakkan lagi semangat dan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu kita bahasa yang ‘hidup’. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong MLLPC dalam usaha untuk sama-sama memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.


Buah kemiri santan kelapa

Enak dimasak gulai nan asli;

Indah budi elok bahasa,

Mari semarak budaya murni.


Sekian, terima kasih.

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim Setiausaha Parlimen (Kementerian Pendidikan & Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga) dan Pengerusi, MLLPC

Go top